Mrs. Celine S. L Ng

0

Written on 09:48 by Track Soft

Key Facts

Article Published : Saturday, September 10th 2011, Utusan Malaysia.
Company Name : De Frazer Industries Sdn Bhd.
Qualifications : Bachelors Degree in Law, Nirvana and Brickfields College, Malaysia.
Address : 16, Jalan Perindustrian Balakong Jaya 2/2, Taman Perindustrian Balakong Jaya 2, Balakong, 43300, Seri Kembangan, Selangor.



Article

Peguam terajui syarikat kertas

Biarpun boleh diibaratkan baru 'setahun jagung' dalam dunia perniagaan, cabaran yang dihadapi tidak mudah melunturkan semangat gadis muda dari Kuala Lumpur.

Jadi tidak menghairankan apabila Celine S. L Ng (gambar), 31, diberikan kepercayaan oleh bapanya untuk meneruskan perniagaan keluarga dengan menerajui De Frazer Industries Sdn. Bhd. (De Frazer) sejak 2008.

Menyedari usianya yang masih muda, Ng membuktikan kesediaannya untuk lebih gigih belajar dan memikul tanggungjawab yang berat dalam dunia perniagaan.

Di syarikat itu, ibu dua anak ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif yang disegani dan beliau juga amat fasih berbahasa Melayu.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, Ng berkata, beliau amat teruja memikul tanggungjawab yang tinggi dalam perniagaan.

Malah, hasil pimpinannya, De Frazer telah menunjukkan peningkatan pertumbuhan jualan sebanyak 50 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu.

"Saya semakin menggemari dunia perniagaan kerana ia mengajar prinsip hidup selagi rajin berusaha, selagi itu kita dapat meneruskan kejayaan,'' katanya.

De Frazer merupakan syarikat pembuatan perabot daripada kertas yang dikitar semula.

Sehingga kini, hampir 80 peratus pasaran perniagaan syarikat adalah di eksport ke luar negara.

Ketika ditanya mengapa memilih perniagaan berasaskan eko, beliau berkata, alam sekitar perlu dipelihara dengan sebaiknya.

Malah, katanya, kertas yang dikitar semula juga dapat menggantikan kayu untuk membuat perabot.

"Saya melakukan kerja-kerja ini dengan harapan lebih banyak pokok dapat diselamatkan dan tidak ditebang untuk tujuan perabot dan perumahan,'' katanya.

Ng, anak sulung daripada lima beradik merupakan graduan undang-undang (LLB Kepujian) dari Kolej Nirvana dan Kolej Brickfields setelah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Taman Midah, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Bandaraya.

Ketika ditanya sama ada beliau tidak berminat meneruskan bidang guaman pada masa akan datang, Ng menjawab, minat terhadap bidang itu masih ada.

Beliau juga berhasrat untuk membuka firma guaman di ibu kota suatu hari nanti.

''Pada waktu ini, saya telah pun mempraktikkan ilmu pengajian undang-undang dengan membantu bapa menyelesaikan masalah berkaitan undang-undang dalam perniagaan.

Di De Frazer, saya juga melakukan kerja-kerja perundangan dan ia merupakan satu kelebihan kepada diri saya buat masa ini,'' tambah beliau lagi.

-Utusan Malaysia
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_05.htm

If you enjoyed this post Subscribe to our feed